AQIL: Pembelajaran Al-Quran & Asas Islam

POSTER_AQIL_EDM

DQS-2015-AQIL_Logo

Klik Untuk Daftar Online

http://aqil.tarbiyah.sg/web/

بـســــــــــم الله الـــرحمن الـــرحـيم

Asatizah yang dihormati,

Di dalam membangunkan jiwa, hati dan minda keagamaan masyarakat Islam Singapura, pendidikan Islam merupakan dasar dan tunggak utama. Ini adalah kerana, kita ingin memastikan bahawa apabila seorang anak Islam melafazkan syahadahnya, ia melakukannya atas keyakinan, kesedaran dan penghayatan yang mendalam. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t. di dalam ayat 108 Surah Yusuf:

قُلْ هَذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Katakanlah (wahai Nabi Muhammad ﷺ): “Inilah jalanku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.”

Namun penghayatan ilmu ini perlu bermula daripada pemahaman asas-asas kehidupan beragama seperti ibadah solat, puasa dan lain-lain lagi. Bahkan jika seorang Muslim memelihara dirinya daripada menyekutukan Allah lalu menjaga solat, puasa, zakat, ia dapat menjadi kunci-kunci baginya membuka pintu syurga Allah. Sepertimana yang disabdakan oleh Baginda Nabiﷺ

اعْبُدُوا رَبَّكُمْ ، وَصَلُّوا خَمْسَكُمْ ، وَصُومُوا شَهْرَكُمْ ، وَأَدُّوا زَكَاةَ أَمْوَالِكُمْ ، وَأَطِيعُوا ذَا أَمْرِكُمْ تَدْخُلُوا جَنَّةَ رَبِّكُمْ (الطبراني)

Yang bermaksud: Sembahlah Tuhanmu dan laksanakanlah kewajipan solat lima waktumu serta puasa sebulanmu serta tunaikan zakat hartamu dan taatilah mereka yang dipertanggungjawabkan di kalangan kamu nescaya kamu akan masuk ke dalam syurga Tuhanmu. (At-Thabrani)

 Lebih daripada kepentingan ilmu asas berkaitan perkara-perkara fardhu ain ini, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) juga mendapati bahawa terdapat keperluan yang besar untuk memastikan setiap anak Muslim mendapatkan pendidikan agama yang lebih menyeluruh. Ini kerana berdasarkan satu kajiannya, Muis mendapati bahawa hanya 40% anak Islam Singapura yang menghadiri kelas-kelas agama berstruktur. Ini bererti terdapat banyak ruang lagi untuk setiap yang bernama guru agama untuk memainkan peranan mereka di dalam mendidik generasi seterusnya.

 Untuk itu, kurikulum dan program AQIL ini telah dibangunkan. Ia adalah merupakan sebahagian daripada usaha bersama Muis dan guru-guru agama Singapura untuk memastikan setiap anak Muslim di Singapura melalui apa jua wadah termasuklah kelas mengaji mendapatkan pendedahan kepada asas fardhu ain yang merupakan anak-anak kunci syurga.

 Saya mengucapkan syabas kepada setiap guru agama yang bersama-sama di dalam usaha menyampaikan program AQIL ini kerana ia adalah saham kecil kita di dalam menegakkan kalimah suci Allah di bumi Singapura yang tercinta ini. Ini adalah usaha kita bersama untuk memastikan tidak seorang pun anak Islam yang terlepas daripada mengenal asas-asas fardhu ain.

 Saya juga menghargai usaha guru-guru agama yang tersenarai di dalam QTRS di dalam menjalani latihan demi membolehkan mereka menyampaikan AQIL dengan berkesan. Saya yakin ini adalah tidak lain kerana keikhlasan dan amanah mereka di dalam menyampaikan agama Allah.

 Semoga usaha ini diberikan nilai yang tinggi pada neraca amalan kita kelak ketika bertemu Allah. Semoga Allah merahmati usaha asatizah dan menjadikan sumbangan anda ini sebahagian daripada ilmu bermanfaat yang akan mengundang keredhaan Allah untuk anda.

Ustaz Irwan Hadi b Md Shuhaimy
Pejabat Mufti
Majlis Ugama Islam Singapura

1 Comment

  1. Bukhori Muslim on 30/08/2016 at 2:59 pm

    Subhanalloh, semoga Alloh SWT memudahkan segala upaya mulia ini, mensyiarkan agama Alloh. Aamiin

Leave a Comment