Amanat 1437H – Masjid Kg Siglap

1437

Berikut adalah Amanat 1437H daripada kami di Masjid Kampung Siglap. Amanat ini telah disampaikan sewaktu Majlis yang baru sahaja berlangsung tadi sebelum dan selepas Maghrib.

بسـم الله الرحمن الرحيم

 الحمد لله رب الْعَالَمين ،  وَالصّلاةُ والسَّـلامُ عَلى سَـيّدنَا مُحمدٍ وعلى آلِه وصَحبِه أجْمَعين

Saudaraku, Muslimin & Muslimat yang dirahmati Allah,

السـلام عليكم ورحمة الله وبركاته

1437Alhamdulillah, marilah kita bersyukur ke hadhrat Allah s.w.t dengan kesyukuran yang tidak berbelah bagi kerana dengan kurniaan Allah ini kita dapat bersama-sama ditemukan dengan detik-detik terakhir di penghujung tahun 1436 Hijriah.

Ya, tahun 1436 Hijriah akan pergi sebentar lagi, meninggalkan kita.  Segala suka-duka yang kita tempuhi akan menjadi kenangan buat kita.  Segala ibadah dan kebajikan yang kita suburkan dalam kehidupan harian kita akan terus menjadi ingatan kita.

Di penghujung 1436 Hijriah ini, izinkan kami mengajak saudaraku untuk kita bermuhasabah diri.  Kita recall, merenung dan kenang kembali amalan kita sebagai persediaan kehidupan kita di akhirat kelak.

Jemaah sekalian,

Sebagai makhluk yang bernama manusia, tidak kira kecil atau besar, tua atau muda, lelaki mahupun wanita, kita tidak terlepas dari melakukan kesalahan.

Adakalanya kita bersendirian, ada ketika yang lain kita bersama teman dan di ketika yang lain pula kita berada di tengah-tengah hiruk-pikuk keriuhan, semua suasana ini tidak memberi jaminan kepada kita untuk tidak terperangkap dalam melakukan kesilapan.

Bertitik tolak dari hakikat inilah Islam telah meletakkan suatu garis panduan betapa dalam hidup seorang Muslim, kita memerlukan Muhasabah.

Muhasabah bererti kita mengoreksi diri, merenung kembali segala amalan yang telah kita lakukan dan menghitungnya, mengenal pasti kelemahan diri, meneroka kesilapan dan dosa yang pernah kita buat, mencari titik kegagalan hidup, mengenal pasti sejauh mana kepincangan dan tersasarnya hidup kita dari kehidupan cemerlang yang diredhai Allah Taala lalu meletakkannya di neraca syariat Allah, samada segala amalan kita, baik berupa tindak-tanduk kita, tutur kata kita, bahkan niat yang bermain dalam benak kita berada dalam lingkungan apa yang dibenarkan dan berhak mendapat petunjuk dan kasih sayang Allah, ataupun amalan kita itu melanggar hukum-hukum Allah dan mengundang kemurkaan, serta azab dari-Nya.

Allah berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah ,kamu kepada Allah dan hendaklah setiap diri itu memerhatikan apa yang telah dilakukan untuk hari esok (Hari Kiamat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah.  Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan” (Al-Hasyr: 18).

Nabi Muhammad ﷺ ada menceritakan beberapa pengajaran yang terdapat dalam Kitab Nabi Ibrahim alaihi salam yang antara lain sebuah riwayat yang bermaksud: “Bagi setiap orang yang berakal, selagi akal fikirannya tidak hilang sewajarnya ia membahagikan masa-masanya kepada 4 waktu;

  • Waktu untuk dia bermunajat kepada Tuhannya;
  • Waktu untuk dia bermuhasabah tentang dirinya;
  • Waktu untuk dia berfikir tentang ciptaan-ciptaan Allah;
  • Waktu untuk dia mencari keperluan dirinya, seperti makan-minum dan sebagainya.

Setiap insan yang selalu bermuhasabah, atau menghitung amalan diri sendiri akan bertambah baik dari masa ke semasa kerana orang ini dapat mengawal dirinya dari godaan dan tarikan hawa nafsunya yang jahat, dapat mengelakkannya dari terperangkap di dalam kesilapan yang sama hingga jadilah ia sebagai orang-orang yang benar-benar beriman, sehingga mencapai tingkatan taqwa, tingkatan yang tertinggi dalam beriman.

Saiyidina Omar bin Alkhattab radiallahu an pernah berkata: “Bermuhasabahlah kamu, sebelum kamu diperhitungkan di hadapan Allah dan timbanglah amalan kamu sendiri sebelum amalan kamu itu ditimbang di hari Akhirat”

Oleh itu, sebagai makhluk yang bernama manusia, yang tidak sunyi dari melakukan kesilapan dan dosa, hendaklah kita menjadikan muhasabah sebagai antara kegiatan harian yang wajib kita lakukan, samada pada setiap pagi, atau petang, ataupun sekurang-kurangnya setiap kali sebelum kita melelapkan mata untuk tidur di malam hari.

Namun begitu, barangsiapa yang tidak dapat melakukannya pada tiap-tiap hari atau malam, hendaklah ia menjadikan muhasabah ini sebagai atur-cara mingguan, atau bulanannya supaya dengan cara ini ia dapat menilai kembali segala amalan yang telah dilakukannya sepanjang minggu, atau sepanjang satu bulan untuk diperbaiki dan dipertingkatkan lagi jika kemungkinan terdapat amalan-amalannya itu tidak menepati kesempurnaan yang dikehendaki Allah SWT.

Maimun bin Mahran, seorang ulamak dari kalangan Tabi’in pernah berkata:

 “Orang yang bertaqwa selalu menghitung amalan dirinya, lebih dari seorang raja yang tamak, atau seorang teman yang bakhil”

Semoga tahun 1436 Hijrian yang bakal meninggalkan kita telah menyuntik semangat untuk kita terus memperkukuhkan iman & taqwa kita dan kedatangan Tahun 1437 Hijriah ini membuka lebih banyak ruang dan peluang buat kita memperkukuhkan iman, menyemai nilai-nilai itqan dan menebarkan ihsan untuk sesama insan, amin ya Rabbal ’alamin.

Wabillahi taufiq wal hidayah.

والسـلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Lembaga Pentadbir Masjid Kampung Siglap

Leave a Comment