Tazkirah Ringkas : Menghayati Sirah Nabi s.a.w menerusi Surah Ad-Dhuha

tazkirah-24-apr-17

Menghayati Sirah Nabi s.a.w menerusi Surah Ad-Dhuha

 

Sebelum diangkat dan diutus menjadi rasul, Nabi Muhammad s.a.w telah diuji dengan ujian yang sangat berat. Baginda telah kehilangan ayahanda tersayang di waktu baginda belum sempat melihat dunia. Manakala belum sempat pula baginda mengecapi nikmat kasih sayang seorang ibu, ibunya telah dijemput pulang oleh Allah SWT. Begitu juga, belum sempat baginda merasakan nikmat kasih sayang seorang datuk, datuknya pergi pula meninggalkan baginda disaat baginda amat memerlukan sokongan yang kuat di dalam meneruskan usaha dakwahnya. Semua insan tersebut adalah merupakan sumber kekuatan emosi buat baginda.

 

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Bukankah dia mendapati engkau yatim piatu, lalu la memberikan perlindungan? Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu – Al-Quran)? Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Ia memberikan kekayaan?.”

 (Surah Ad-Dhuha ayat 6-8)

Ayat-ayat tersebut sebenarnya ditujukan kepada Rasulullah s.a.w sebagai suatu motivasi dan pemangkin semangat buat baginda. Walaupun baginda kehilangan insan-insan tersayang yang menjadi pendokong kuat perjuangannya pada ketika itu, namun baginda tidak pernah sesekali kehilangan kekuatan spiritual dan iman kepada Allah SWT. Baginda tetap terus teguh menyampaikan dakwahnya walaupun ditentang, dicaci, dihina dan sebagainya. Kesemuanya itu tidak sedikit pun melemahkan dan menggoyahkan semangat baginda demi meneruskan perjuangannya untuk membela agama Allah SWT.

 

Menurut tafsir Ibnu Kathir di dalam ayat-ayat yang berikutnya pula, nabi s.a.w pernah tercari-cari jalan untuk pulang ke rumah baginda ketika pulang dari berniaga. Maka, saat itu Allah SWT datangkan bantuan dengan asbab Abu Jahal yang akan menjadi musuh baginda kemudiannya. Begitu juga dengan saat baginda diuji dengan kemiskinan, maka Allah SWT datangkan Sayyidatina Khadijah. Sebenarnya itulah ketentuan dan perancangan Allah SWT buat baginda.

 

Saudara,

Begitulah hakikat kehidupan. Hidup kita ini pasti akan diuji. Dalam hidup ini, kita mungkin diuji dengan kehilangan orang-orang yang sering memberikan sokongan emosi buat kita, kita mungkin juga kehilangan harta atau mungkin juga kita tersesat mencari arah dan haluan. Semuanya itu perlu kita tempuh dengan penuh sabar dan redha. Percayalah bahawa hidup ini adalah medan ujian untuk kita mengenal tahap keimanan kita kepada Allah SWT. Ujian juga mengajar kita untuk kuat meletakkan segala kebergantungan kita kepada Allah SWT. Wallahua’lam.

 

 

Sekian

Dikeluarkan oleh Pejabat Imam

Tazkirah Jumaat 21 April 2017/ 24 Rejab 1438H

 

Leave a Comment