Tazkirah Ringkas : Sifat kasih sayang yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w terhadap umatnya

tazkirah-2-may-17

 

Sifat Kasih Sayang yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w Terhadap Umatnya

 

Rasulullah s.a.w diutuskan oleh Allah SWT untuk membawa rahmat ke seluruh alam. Baginda amat mengasihi dan mencintai umatnya walaupun sering dicemuh dan disakiti oleh orang-orang yang memerangi dan memusuhinya. Allah SWT yang bermaksud:

 

”Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin.”

(Surah At-Taubah ayat 128)

 

Cuba kita lihat bagaimana kasih dan cintanya Rasulullah s.a.w terhadap penduduk Taif yang menentang dakwahnya. Baginda dicerca dan dihina, malah dilontar dengan baru sehingga kakinya berdarah. Namun baginda tidak sesekali membalas kekasaran tersebut dengan kejahatan, malah baginda mendoakan pula musuhnya serta mengadu akan kelemahan dirinya kepada Allah SWT. Walhal pada ketika itu baginda mampu untuk berdoa kepada Allah agar para Malaikat menurunkan azab ke atas mereka.

 

Semasa pembebasan kota Mekah yang berlaku pada bulan Ramadhan pula, orang-orang yang pernah menentang dan ingin membunuhnya tidak dibalas oleh Rasulullah s.a.w dengan apa-apa tindakan sekalipun. Sebaliknya baginda memberi kemaafan kepada mereka walaupun selepas peristiwa itu, baginda telah menguasai kota Mekah serta mampu untuk membalas segala kejahatan yang telah mereka lakukan terhadapnya.

 

Perhatikan pula peristiwa  kemenangan tentera Islam semasa peperangan Badar pada bulan Ramadhan, orang-orang yang telah ditawan dibebaskan dan akhirnya mereka yang dibebaskan itu menceritakan pula kepada sahabat-sahabat dan keluarga-keluarga mereka tentang kebaikan-kebaikan orang Islam terhadap mereka.

 

Oleh itu, kesimpulan daripada peristiwa-peristiwa tersebut membuktikan bahawasanya Rasulullah s.a.w  amat menyayangi dan mengasihi umatnya serta ingin sekali melihat umatnya berada di dalam taufik dan hidayah Allah SWT. Mudah-mudahan kita dapat mencontohi serta menerapkan sifat-sifat ini ke dalam diri kita di dalam membimbing masyarakat ke jalan yang diredhai oleh Allah SWT, InsyaAllah.

 

 

Sekian

Dikeluarkan oleh Pejabat Imam

Tazkirah Jumaat 28 April 2017/ 1 Syaaban 1438H

 

Leave a Comment