Tazkirah Ringkas : Persiapan Menjelang Bulan Ramadan

Persiapan Menjelang Bulan Ramadan

 

Sedar atau tidak, bulan Rejab telah berlalu meninggalkan kita. Kini kita telah berada pada bulan Syaaban yang mulia, bahkan tidak lama selepas itu, kita akan melangkah masuk pula ke dalam Bulan Ramadan Al-Mubarak. Subhanallah! Debaran Ramadan makin terasa, doa yang sering kita panjatkan bermula pada bulan Rejab yang lalu seakan-akan telah dimakbulkan oleh Allah SWT iaitu “Ya Allah berkati hidup kami di bulan Rejab ini, dan juga di bulan Syaaban, serta panjangkan umur kami hingga bulan Ramadan”. Marilah kita menghayati sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

 

“Ketika datang bulan Ramadan: Sungguh telah datang kepadamu bulan yang penuh berkat, diwajibkan atas kamu untuk puasa, dalam bulan ini pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup, Syaitan-Syaitan dibelenggu. Dalam bulan ini ada suatu malam yang nilainya sama dengan seribu bulan, maka barangsiapa diharamkan kebaikannya ( tidak beramal baik didalamnya), sungguh telah diharamkan (tidak mendapat kebaikan di bulan lain seperti di bulan ini).”

( Hadis Riwayat Imam Ahmad )

 

Ramadan adalah nikmat kurniaan dari Allah AWT kepada hamba-hambaNya yang beriman. Bulan ini juga adalah bulan yang amat dinanti-nantikan oleh orang-orang soleh. Mereka telah mula mempersiapkan diri untuk menyambut bulan Ramadan seawal 6 bulan lagi sebelum tibanya Ramadan. Persiapan dan persediaan tersebut pastinya membawa kepada erti dan penghayatan yang penuh bermakna di dalam hidup mereka. Bagaimanakah pula dengan diri kita? Adakah telah terasa debaran Ramadan dalam hati sanubari kita? Adakah kita merindui Ramadan sepertimana rindunya orang-orang soleh? Sudah tiba masanya untuk kita melahirkan dan menanamkan rasa cinta kepada Ramadan supaya kita tidak terlepas untuk mendapat ganjaran dan keampunan daripada Allah SWT.

 

Bertitik tolak dari itu, apakah persiapan yang perlu dibuat sebelum melangkah masuk ke bulan Ramadan nanti? Antara persiapan yang perlu dibuat dalam kita melalui tarbiah Ramadan ini ialah:

 

  • Perlunya mewujudkan rasa teruja dan rasa gembira dengan kedatangan bulan Ramadan Al-Mubarak. Maksudnya persiapan hati perlu dibuat agar hati kita sentiasa berasa gembira untuk bertemu bulan Ramadan yang bakal menjelang tidak lama lagi.

 

  • Melakukan sujud syukur pada malam 1 Ramadan  apabila bertemu Ramadan lagi. Ini adalah sebagai tanda terima kasih kepada Allah SWT kerana kita masih dipanjangkan usia untuk bertemu di bulan Ramadan.

 

  • Perlu melengkapkan diri kita dengan mempelajari ilmu-ilmu berkaitan dengan hal-hal berkenaan ibadah puasa seperti rukun, syarat sah, perkara yang membatalkan puasa, adab dan lain-lain agar ibadah puasa kita menjadi lebih bermutu dan sempurna di sisi Allah SWT.

 

  • Menjaga kesihatan dengan baik sebagaimana kita menjaga kesihatan kita ketika ingin menghadapi peperiksaan dan sebagainya. Kesihatan yang baik adalah amat penting untuk kita terus menghidupkan bulan Ramadan dengan solat terawih, membaca Al-Quran, qiyamullail, iktikaf dan sebagainya.

 

Oleh itu, marilah bersama-sama kita membuat persiapan yang sebaiknya sama ada dari sudut mental mahupun fizikal. Rebutlah peluang Ramadan kali ini dengan mempertingkatkan lagi amal soleh agar kita menjadi insan yang lebih bertakwa kepadaNya, InsyaAllah.

 

Sekian

Dikeluarkan oleh Pejabat Imam

Tazkirah Jumaat 5 Mei 2017/ 8 Syaaban 1438H

 

Leave a Comment