Tazkirah Ringkas : Apakah Maksud Syaitan Dibelenggu?

tazkirah

Apakah Maksud Syaitan Dibelenggu?

 

Bulan Ramadan adalah bulan keampunan, rahmat dan pembebasan daripada api neraka. Di samping kita menahan diri daripada lapar dan dahaga, kita juga digalakkan untuk berlumba-lumba mengejar pahala sebanyak yang mungkin serta berusaha menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan dosa dan maksiat. Persoalannya, mengapakah masih terdapat segelintir manusia yang masih terus menerus melakukan dosa, sedangkan syaitan telah dibelenggu dan dirantai? Amat meyedihkan dan memilukan lagi, perbuatan dosa dan maksiat semakin bertambah serius dan berleluasa pada bulan tersebut seolah-olah langsung tidak mempedulikan akan kemuliaannya. Di manakan silapnya? Rasulullah s.a.w pernah bersabda menerusi sabdanya yang bermaksud:

“Jika datang bulan Ramadan, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu,”
(Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

 

Berbalik kepada persoalan di atas, sebahagian ulamak berpendapat bahawa memang benar syaitan itu dibelenggu dan dirantai, tetapi apa yang dapat difahami di sini adalah ketidakmampuan syaitan untuk menguasai orang-orang yang berpuasa sebagaimana penguasaannya di luar Ramadan. Selain itu, ada juga yang berpandangan bahawa sebahagian jenis syaitan yang utama sahaja dibelenggu, manakala sebahagian yang lainnya pula masih bebas bertebaran di atas muka ini. Oleh sebab itulah terdapat ramai lagi di antara kita yang masih terus menerus melakukan perbuatan maksiat sepanjang bulan Ramadan.

 

Namun demikian, tidak seharusnya kita menjadikannya sebagai alasan untuk kita terus menyalahkan sebahagian syaitan yang tidak dibelenggu dan sebagainya. Sebaliknya ia bergantung kepada kepada diri kita sendiri iaitu sejauh mana kita dapat melawan dan mengekang hawa nafsu kita daripada melakukan perbuatan-perbuatan tersebut. Selain daripada itu juga, ia mungkin berpunca daripada dorongan hawa nafsu jahat yang telah lama terdidik dan terbiasa dengan ajakan syaitan sebelum melangkah masuk ke bulan Ramadan lagi. Oleh kerana itulah kita gagal untuk melawan hawa nafsu kita sendiri yang akhirnya boleh merugikan diri kita sendiri kerana tidak dapat menjadikan bulan Ramadan tersebut sebagai medan untuk menambahkan pahala, sebaliknya menjadikan bulan tersebut pula sebagai medan untuk menambah dosa yang akhirnya membinasakan kita. Waliazubillah.

 

Kesimpulannya, hanya Allah SWT sahaja yang tahu akan maksud sebenar berkenaan hal tersebut. Kita sebagai orang beriman wajib meyakininya. Yang paling penting adalah sejauh mana kita dapat mengelakkan diri daripada melakukan perbuatan dosa dan maksiat pada bulan tersebut. Semuanya itu bergantung kepada tahap keimanan kita. Semakin kuat kita melawan nafsu, semakin tinggi keimanan dan ketakwaan kita kepadaNya, InsyaAllah. Wallahua’lam.

 

Sekian
Dikeluarkan oleh Pejabat Imam

Tazkirah Jumaat 19 Mei 2017/ 22 Syaaban 1438H

Leave a Comment