Tazkirah Ringkas : Adakah Sedekah Hanya Terbatas Kepada Wang Ringgit Sahaja?

tazkirah

Adakah Sedekah Hanya Terbatas Kepada Wang Ringgit Sahaja?

Kebanyakan Umat Islam beranggapan bahawa sedekah hanya dapat dinilai dan dilihat dari sudut wang ringgit ataupun yang berbentuk material sahaja, sedangkan konsep bersedekah ini sangat luas dan tidak hanya terbatas kepada perkara-perkara tersebut sahaja.

Secara umumnya, memberikan senyuman juga termasuk dalam perkara sedekah. Begitu juga membuang duri di jalanan dikira sebagai sedekah, hatta berbicara dengan kata-kata yang baik dan sopan juga dianggap sebagai sedekah dan banyak lagi amal-amal kebaikan yang lain. Maksudnya segala amalan kebaikan yang kita lakukan dengan ikhlas di atas muka bumi ini akan dinilai oleh Allah SWT sebagai suatu bentuk sedekah. Rasulullah s.a.w pernah bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud:

Tiap-tiap perkara yang maaruf menjadi sedekah. Antara perkara yang maaruf itu hendaklah engkau (semasa) bertemu dengan saudaramu (sesama anak Adam) biarlah dengan muka yang manis dan (kalau ada yang meminta air) hendaklah engkau tuangkan timbamu ke dalam bekas air yang dibawanya.
(Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Justeru itu, bersedekahlah mengikut kemampuan yang kita ada. Hulurkanlah sedekah semampu yang mungkin walaupun dengan hanya memberikan sebiji kurma ataupun seteguk air kepada orang yang berbuka puasa. Berusahalah untuk menjadi insan yang sentiasa mampu untuk memberikan manfaaat kepada orang lain. Ingatlah pesan nabi s.a.w yang bermaksud:

“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.”
(Hadis Riwayat Imam Ahmad)

 

Sekian
Dikeluarkan oleh Pejabat Imam

Tazkirah Jumaat 2 Jun 2017/ 7 Ramadhan 1438H

Leave a Comment