Tazkirah Ringkas : Bersedekahlah Dengan Barang Yang Kita Sayangi

tazkirah

Bersedekahlah Dengan Barang Yang Kita Sayangi

 

Bersedekah adalah merupakan suatu amalan yang sangat dituntut oleh Islam serta sangat tinggi nilainya. Namun sedekah yang paling baik adalah dengan menyedekahkan harta yang paling kita sayangi ataupun yang setaraf dengannya. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud:

 

Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi.”

(Surah Ali-Imraan ayat 92)

Selain itu saudara, bagi memastikan kita mendapat pahala sedekah yang sempurna, hendaklah kita bersedekah dengan memberikan barang-barang yang baik dan berkualiti, disukai dan disenangi oleh si penerimanya. Adalah tidak wajar sekiranya kita bersedekah dengan sesuatu barang yang kita sendiri tidak sanggup atau rela menerimanya. Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud:

 

“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah pada jalan Allah sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat, padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu kalau diberikan kepada kamu kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi sentiasa terpuji”.  

(Surah Al-Baqarah ayat 267)

 

Oleh itu, berusahalah semampu mungkin untuk bersedekah dengan menyedekahkan harta yang paling kita sayangi serta baik kerana ianya dapat mengikis diri kita daripada sifat tamak dan cintakan dunia serta dapat mendidik hati kita agar terus sentiasa bersyukur di atas segala nikmat kurniaanNya. Mudah-mudahan ianya dapat menjadi sebahagian amalan yang menjadi bekalan kita di akhirat nanti, InsyaAllah.

 

Rasululullah s.a.w yang bermaksud:

 “Apabila seorang anak Adam mati, segala amalannya terputus, kecuali tiga perkara: iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya”.

(Hadis Riwayat Imam Bukhari)

 

Sekian

Dikeluarkan oleh Pejabat Imam

Tazkirah Jumaat 9 Jun 2017/ 14 Ramadhan 1438H

 

Leave a Comment