Tazkirah Ringkas : Amalan Qiyamullail

tazkirah

Amalan Qiyamullail

 

Qiyamullail adalah merupakan sunnah nabi, amalan para siddiqin dan orang-orang soleh sejak dahulu lagi. Pada awalnya qiyamullail ini diwajibkan ke atas Rasulullah s.a.w dan para sahabat, namun setelah setahun disyariatkan, amalan itu menjadi sunat muakkadah kepada setiap umat Islam. Walaupun ianya tidak diwajibkan lagi, kita digalakkan untuk bangun pada waktu malam di waktu manusia sedang nyenyak tidur kerana ia adalah merupakan suatu cara untuk kita mendekatkan diri kepada Allah SWT.

 

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah ‘sembahyang tahajud’ padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat Yang Terpuji.”

(Surah Al-Israk ayat 79)

 

Selain daripada itu, amalan qiyamullail juga adalah di antara amalan yang dapat meningkatkan darjat seseorang di syurga kelak. Ini berdasarkan sabda nabi s.a.w yang bermaksud:

“ Sesungguhnya di syurga itu ada bilik-bilik yang dapat dilihat luarnya dari dalam, dan bahagian dalamnya dari luar. Allah s.w.t. menyediakan akan dia bagi orang yang memberi makan, berlembut lidah, menyambung puasa fardu dengan sunat, mengucap salam, juga mereka yang sembahyang pada waktu malam, ketika orang ramai tidur.”

(Hadis Riwayat Imam Ahmad, Ibn Habban & Tarmizi)

Saudara,

Ramadan semakin hampir melabuhkankan tirainya. Kita pun telah melangkah masuk ke 10 malam terakhir bulan Ramadan. Ia adalah merupakan saat di mana Rasulullah s.a.w meningkatkan amalan baginda dengan berjaga malam, beriktikaf dan mengejutkan ahli keluarga untuk beribadah bersama-sama dengannya.
Oleh itu, marilah kita mengambil kesempatan ini untuk mempergiatkan lagi ibadah kita di penghujung Ramadan dengan memperbanyakkan membaca Al-Quran, memohon keampunan serta qiyamullail. Semoga kita meninggalkan Ramadan tahun ini dengan memperoleh rahmat dan pengampunan daripadaNya, InsyaAllah.

 

Sekian

Dikeluarkan oleh Pejabat Imam

 

 

Leave a Comment