Tazkirah Ringkas : Menghidupkan Malam Raya dengan Beribadah

tazkirah

Menghidupkan Malam Raya dengan Beribadah


Sedar atau tidak, esok adalah hari yang terakhir kita berpuasa. Alhamdulillah ramai di kalangan kita yang bersungguh-sungguh menghidupkan sepuluh malam terakhir Ramadan ini dengan malaksanakan ibadah qiyamullail sama ada secara berjemaah di Masjid ataupun bersendirian di rumah. Semua itu dilakukan adalah semata-mata untuk mengharap dan meraih keampunan daripada Allah SWT, mentelah lagi pada malam-malam inilah peluang untuk kita  memburu malam lailatul qadar yang amat dinanti-nantikan bagi setiap orang. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

 

“Carilah lailatul qadar di malam ganjil dari sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan”

 (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

 

Saudara,

Ibadah qiyamullail yang telah kita lakukan pada bulan Ramadan ini sebenarnya tidak terhenti begitu sahaja, sebaliknya kita hendaklah meneruskan lagi ibadah tersebut pada bulan-bulan yang lain kerana Allah SWT amat menyukai hamba-hambanya yang tetap teguh beristiqamah di dalam melakukan apa jua amalan kebaikan. Ingatlah pesan Nabi s.a.w yang bermaksud:

 

“Wahai manusia, lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehingga kamu jemu. Amalan paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 

Oleh itu, marilah bersama kita meneruskan serta menyemarakkan lagi ibadah kita pada malam Hari Raya nanti dengan ibadah kerana terdapat hadis yang meyatakan tentang kelebihan malam tersebut. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:

 

 “sesiapa yang menghidupkan malam Raya Fitri dan Adha, maka Allah akan menghidupkan hatinya di hari hati menjadi mati.”

                                                                                                    (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

 

Meskipun sandarannya mungkin berdasarkan Hadith Dha’if, namun ramai ulama yang menganjurkan untuk kita mengamalkan serta menghidupkan malam tersebut termasuk Imam al-Shafie r.a sendiri. Wallahu’alam.

 

Sekian

Dikeluarkan oleh Pejabat Imam

Tazkirah Jumaat 23 Jun 2017/ 28 Ramadhan 1438H

 

Leave a Comment