Tazkirah Ringkas : Menjaga Silaturrahmi Sesama Insan

tazkirah

 

Menjaga Silaturrahmi Sesama Insan


Islam amat menganjurkan umatnya agar sentiasa menjaga silaturrahmi sesama insan tidak kira apa jua latar belakang dan keturunannya. Baik kaya ataupun miskin, kedudukan dan pangkat yang hebat bukanlah menjadi penghalang seseorang itu untuk menghubungkan silaturrahmi, malah hubungan silaturrahmi itu mesti dijalankan sepanjang hidup kita agar kita menperoleh rahmat dari Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikan antara kedua-dua saudara mu dan bertakwalah kepada ALLAH supaya mendapat rahmat”.

(Surah Al-Hujurat ayat 10)

 

Berkaitan hubungan silaturahim Nabi s.a.w juga pernah bersabda:

“Sesiapa yang inginkan rezekinya diluaskan dan dipanjangkan usianya, maka jalinkan hubungan silaturahim (dengan ihsan”).

(Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

 

Saudara,

Tuntutan menjaga hubungan silatrrahmi sesama manusia ini amat dititikberatkan oleh Islam sama sekali kerana jika tidak dijaga dan dipelihara dengan baik, ianya bakal mengundang kemurkaan Allah SWT dan lebih menggerunkan lagi diharamkan pula untuk kita masuk ke dalam syurgaNya.

 

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:

Tidak masuk ke syurga pemutus silaturahim.

(Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

 

Oleh itu, sempena bulan Syawal yang mulia ini, ambillah peluang untuk menghubungkan serta mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara kita. Apabila saling berjumpa, ucaplah salam dan bersalam-salaman dan apabila berpisah, maka berpisahlah dengan ucapan istighfar. Mudah-mudahan dengan hubungan silaturrahmi yang terjalin, kita akan mendapat keampunan dan rahmat dari Allah SWT, InsyaAllah.

 

Sekian

Dikeluarkan oleh Pejabat Imam

Tazkirah Jumaat 30 Jun 2017/ 6 Syawal 1438H

 

 

Leave a Comment