Tazkirah Ringkas : Rahmat Allah SWT Tidak Akan Turun Kepada Orang Yang Memutuskan Silaturrahmi

tazkirah

Rahmat Allah SWT Tidak Akan Turun Kepada Orang Yang Memutuskan Silaturrahmi

 

Sebagai seorang mukmin, kita perlu mengambil berat berkenaan dengan menjaga hubungan silaturrahmi ini sama seperti pentingnya kita menjaga ibadah solat fardhu. Mana mungkin kita menjadi seorang mukmin beriman dengan perintah solat tetapi dalam masa yang sama pula, kita ingkar kepada perintah memelihara hubungan persaudaraan sesama insan. Sedangkan kedua-duanya itu adalah merupakan kewajipan dan perintah daripada Allah SWT untuk kita melaksanakannya.

 

Menjaga silaturrahmi ini adalah amat penting kerana Rasulullah s.a.w pernah menegaskan kepada kita menerusi sabdanya yang bermaksud:

 

Sesungguhnya rahmat Allah SWT tidak akan turun kepada kaum yang di dalamnya ada orang yang memutuskan silatrrahmi.”

(Hadis Riwayat Imam At-Tabrani)

 

Selain itu juga, para malaikat tidak akan turun kepada sesuatu kaum yang mudah memutuskan silaturrahmi sesama mereka. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

 

“Sesungguhnya malaikat tidak akan turun kepada kaum yang di dalamnya ada orang yang memutuskan silaturrahmi.”

(Hadis Riwayat Imam At-Tabrani)

 

Saudara,

Oleh kerana pentingnya menjaga silaturrahmi ini, kita hendaklah berusaha semampu mungkin agar dapat menjaganya dengan baik dan setidak-tidaknya mengetahui cara-cara bagaimana ingin mengeratkannya.

 

Menurut Ibnu Abu Jamrah, hubungan silaturrahmi ini boleh dieratkan dengan memberi harta, memberi bantuan dan pertolongan dalam menyampaikan hajat, menolak kemudaratan, bersemuka, mendoakan, mengeratkan dengan apa yang termampu daripada perkara kebajikan dan menolak apa yang termampu daripada perkara keburukan.

Sementara bagi mereka yang tinggal berjauhan pula, bolehlah berhubung dengan mengirimkan salam dengan berutus surat, whatsApp, facebook dan sebagainya, akan tetapi adalah lebih afdal jika kita mampu untuk menziarahi mereka. Mudah-mudahan dengan cara tersebut dapat mengeratkan lagi jalinan persaudaraan yang terbina antara mereka, InsyaAllah.

 

Sekian

Dikeluarkan oleh Pejabat Imam

Tazkirah Jumaat 14 Julai 2017/ 20 Syawal 1438H

 

 

 

Leave a Comment