Tazkirah Ringkas : Bolehkah Menjalinkan Hubungan Silaturrahmi Dengan Orang Bukan Islam?

tazkirah

 

Bolehkah Menjalinkan Hubungan Silaturrahmi Dengan Orang Bukan Islam?

 

Dalam tazkirah-tazkirah yang lalu, kita sering membicarakan berkenaan kepentingan menjaga hubungan silaturrahmi sesama Muslim, lalu bagaimanakah pula hukumnya bersilaturrahmi dengan orang bukan Islam?Adakah dibenarkan oleh syarak? Dalam hal ini, Allah SWT tidak pernah melarang sama sekali untuk kita bergaul atau berbuat baik dengan orang bukan Islam selagi mana tidak bertentangan dengan hukum syarak. Ini adalah sebagaimana firmannya yang bermaksud:

 

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana (agama) kamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

(Surah Al-Mumtahanah ayat 8)

 

Dalam realiti kehidupan masyarakat berbilang kaum khususnya di Singapura ini, kita dilarang menyakiti atau memusuhi orang bukan Islam dengan apa sahaja cara sekalipun, sebaliknya kita hendaklah menjalinkan hubungan yang baik dengan mereka,  bergaul serta memberikan layanan yang baik, bertutur dengan kata-kata yang sopan dan lemah lembut dan sebagainya. Ini sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud:

 

“Serta ucaplah kata-kata yang baik kepada manusia”

(Surah Al-Baqarah ayat 83)

 

Saudara,

Selain itu, kita juga dianjurkan agar berbuat baik kepada jiran yang bukan Islam. Nabi s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:

 

“Jibril sentiasa mewasiatkan aku untuk berbuat baik kepada jiran sehingga aku menyangka ia akan dapat mewarisi dariku.”

(Muttafaqun ‘alaih).

 

 

Jiran yang dimaksudkan di sini adalah berbentuk umum, samaada  jiran yang Muslim mahupun kafir. Oleh itu, berdasarkan hadis di atas, bolehlah kita mengambil kesimpulan bahawa perbezaan agama sebenarnya tidak pernah menghalang kita untuk berbuat baik, berkasih sayang dan bertoleransi asalkan ianya masih dalam perkara-perkara yang diizinkan oleh syariat.

Semoga kita sentiasa menjaga, bergaul dan menjalinkan hubungan yang baik kepada mereka hatta kepada seluruh makhluk yang berada di atas muka bumi ini. InsyaAllah.

 

Sekian

Dikeluarkan oleh Pejabat Imam

Tazkirah Jumaat 28 Julai 2017/ 4 Zulkaedah 1438H

 

Leave a Comment