Tazkirah Ringkas : Maksud & Nilai Sebuah Ukhwah

tazkirah

 

Maksud & Nilai Sebuah Ukhwah

 

Menurut Dr. Abdullah Nashih Ulwan, Ukhwah Islamiyah adalah ikatan kejiwaan yang melahirkan perasaan mendalam dengan kelembutan, cinta dan sikap hormat kepada setiap orang yang sama-sama diikat dengan akidah Islamiyah, iman dan takwa. Berdasarkan pengertian tersebut, dapatlah difahami bahawa ukhwah adalah sebuah kekuatan Iman yang dapat menumbuhkan perasaan kasih cinta dan sayang, hormat-menghormati yang dikurniakan Allah SWT kepada hambaNya yang beriman dengan tujuan untuk mendapatkan mardhatillah. Dengan terbinanya ukhwah yang suci ini, maka akan lahirlah sikap tolong-menolong, saling faham-memahami, tidak mementingkan diri sendiri serta tidak menzalimi harta mahupun kehormatan orang lain.

 

Saudara,

Nilai sebuah ukhwah itu tidaklah hanya terletak kepada teori semata-mata, tetapi ia hendaklah ditunjukkan dalam setiap perbuatan dan tindakan kita. Sebagai contoh seseorang yang memahami maksud ukhuwah sebenar, dia akan sentiasa merasai penderitaan atau kesengsaraan yang sedang dihadapi oleh saudaranya yang lain seperti krisis kemausiaan yang sedang berlaku di Yaman yang pernah dikongsikan pada khutbah Jumaat yang lalu yang telah meragut ramai nyawa, maka dia akan menghulurkan bantuan semampu yang mungkin bagi meringankan penderitaan serta mendoakan kesejahteraan dan keselamatan buat mereka di sana. Inilah sebenarnya nilai ukhwah yang perlu dipupuk dan disemai di dalam setiap hati sanubari kita. Ia sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

 

“Perumpamaan kaum mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi, seumpama tubuh, jika satu anggota tubuh sakit, maka anggota tubuh yang lain akan susah tidur atau merasakan demam.”

(Hadis Riwayat Imam Muslim)

 

Demikian juga, jika saudaranya memperoleh sesuatu nikmat, dia akan turut menumpang rasa gembira tanpa ada sedikit pun perasaan iri hati dan dengki kepadanya. Jika ada saudaranya yang memerlukan bantuan dan pertolongan, dia akan berusaha untuk membantu sebaik mungkin, jika ada saudaranya yang sedang sakit, dia akan pergi menziarahi serta mendoakan kesihatan buat mereka dan banyak lagi contoh-contoh kebaikan yang lain.

 

Oleh yang demikian, setelah kita memahami dan menghayati erti dan nilai sebuah ukuwah, marilah kita menjaga ukuwah sesama kita, sentiasa mewujudkan sikap saling hormat- menghormati, percaya-mempercayai, bantu-membantu serta mendoakan keselamatan buat saudara-saudara kita yang berada dalam kesusahan dan sebagainya. Dengan wujudnya ukhwah seperti ini, maka akan lahirlah sebuah masyarakat yang harmoni serta dapat mengeratkan lagi ukuwah sesama manusia, InsyaAllah.

 

Sekian

Dikeluarkan oleh Pejabat Imam

Tazkirah Jumaat 4 Ogos 2017/ 11 Zulkaedah 1438H

 

 

 

 

 

 

Leave a Comment