Tazkirah Ringkas : Menyemai Ukhwah Melalui Amalan Berkorban

tazkirah

 

Menyemai Ukhwah Melalui Amalan Berkorban

 

Amalan berkorban mempunyai pelbagai hikmah dan pengajaran yang boleh kita pelajari dan fahami. Ia bukan sekadar hanya memperingati peristiwa Nabi Ibrahim yang bersedia melaksanakan perintah Allah SWT untuk menyembelih anaknya Ismail sebagai korban, tetapi ia mengajar kita nilai sebuah ukhwah yang yang perlu kita semai dan suburkan dalam diri kita melalui amalan berkorban. Ukhwah tersebut tidak akan dapat dirasai melainkan mereka yang benar-benar memahami makna dan erti di sebalik penyariatan ibadah korban yang dilaksanakan.

Ibadah korban adalah merupakan tanda syukur kita kepada Allah SWT terhadap segala nikmat dan limpah kurnianNya. Amalan ini sebenarnya dapat melatih kita untuk menerapkan rasa keprihatinan dan rasa kemanusiaan sesama kita terutamanya kepada golongan fakir miskin, anak yatim, jiran tetangga mahupun saudara-saudara kita yang sedang dilanda bencana dan sebagainya.

Melalui ibadah korban ini jugalah, kita berpeluang untuk sama-sama berkongsi rezeki dan kegembiraan, di samping mengurangkan kesusahan dan bebanan yang diperlukan oleh mereka dengan memberikan daging korban kepada mereka. Dengan ini, tautan ukhwah dapat disemai dan dibajai dengan baik tanpa mengira yang kaya, mahupun yang miskin. Adalah lebih afdhal diberikan semua daging korban melainkan sedikit sahaja bahagian yang diambil terutama bahagian hati kerana ia sunat dimakan oleh orang yang membuat korban. Amalan ini pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w ketika baginda melakukan korban.

Selain itu juga, ibadah korban ini mampu mengeratkan hubungan silaturrahimi dan memupuk rasa ukhwah sesama saudara Muslim yang lain. Ia merupakan sebagai satu wadah yang dapat mewujudkan semangat gotong-royong, di mana kita dapat menghulurkan bantuan serta tolong menolong sesama kita. Sebagai contoh kita boleh mendaftarkan diri sebagai tenaga sukarelawan korban di masjid-masjid yang ada melaksanakan ibadah korban khususnya di negara Singapura ini. Itu juga adalah merupakan sebahagian daripada hikmah pengorbanan yang dapat difahami dari sudut pengorbanan masa dan tenaga. Ingatlah Firman Allah SWT yang bermaksud:

..Dan tolong menolonglah kamu dalam (mengerjakan kebaikan) dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran…”

(Surah Al-Maidah ayat 2)

Semoga dengan ibadah korban yang kita lakukan, mahupun pengorbanan dari sudut tenaga dan masa yang kita berikan dapat mengeratkan lagi silaturrahmi dan ukhwah sesama kita, InsyaAllah.

 

Sekian

Dikeluarkan oleh Pejabat Imam

Tazkirah Jumaat 25 Ogos 2017/ 3 Zulhijjah 1438H

 

Leave a Comment