Tazkirah Ringkas : Beberapa Pengajaran daripada Kisah Nabi Musa a.s & Khidir

tazkirahn

Beberapa Pengajaran daripada Kisah Nabi Musa a.s & Khidir

 

Di dalam surah Al-Kahfi ada menceritakan berkenaan sebuah kisah yang sangat menarik berkenaan dengan nabi Musa a.s dan Khidir. Jika diteliti dan difahami dengan baik, terdapat banyak pengajaran yang boleh kita ambil daripadanya terutamanya berkenaan dengan ilmu. Surah ini tidak hanya digalakkan untuk kita membacanya pada setiap hari Jumaat sahaja, malah kita juga diperintahkan untuk mentadabbur segala isi kandungannya agar kita dapat meperoleh manfaat daripadanya. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

 

“Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al-Quran ataukah hati mereka terkunci?”

(Surah Muhammad ayat 24)

 

Saudara,

 
Terdapat beberapa pengajaran yang boleh diambil daripada Surah Al-Kahfi ini mengenai kisah Nabi Musa a.s dan Khidir iaitu:

 

  1. Kesungguhan dalam menuntut ilmu

Kita perlu bersungguh-sungguh dan bersemangat di dalam usaha untuk menuntut ilmu serta tidak mudah berputus asa di dalam setiap ilmu yang ingin kita pelajari. Kesungguhan menuntut ilmu ini hendaklah diteruskan selagi kita masih hidup tidak kira muda, mahupun tua.

Lihatlah bagaimana kesungguhan Nabi Musa a.s yang sanggup menempuh perjalanan yang sangat jauh semata-mata untuk mencari serta mempelari ilmu dari seorang yang lebih alim daripadanya walaupun beliau adalah seorang nabi yang dikurniakan kita Taurat kepadanya.

 

  1. Pengorbanan

Menuntut adalah merupakan satu proses yang berterusan dan berpanjangan. Ianya perlu kepada pengorbanan masa, jiwa dan tenaga untuk menguasai sesuatu ilmu. Perhatikanlah pengorbanan Nabi Musa a.s, baginda sanggup menempuh segala kesusahan dan kepayahan akibat kekurangan makanan, perjalanan yang sangat jauh demi menuntut ilmu.

Oleh kerana itulah, kita perlu mencontohi sifat pengorbanan baginda ini dalam menuntut ilmu agar kita berjaya mengusai sesuatu ilmu itu dengan baik.

 

  1. Merendah diri

Sifat merendah diri atau tawadhu terutama kepada guru adalah merupakan sifat yang perlu diterapkan di dalam diri setiap penuntut ilmu walaupun insan yang berkongsi ilmu tersebut mungkin lebih rendah darjatnya atau lebih muda daripadanya. Walau siapa pun guru kita, kita hendaklah sentiasa menghormati serta memuliakan mereka agar kita memperoleh keberkatan ilmu daripadanya.

 

Nabi Musa a.s sendiri, walaupun mempunyai darjat yang tinggi (seorang Rasul ‘ulul ‘azmi) daripada Khidir, namun baginda tetap merendah diri dan bertanya kepada Khidir dengan sopan untuk menimba ilmu daripadanya.

Semoga perkongsian ringkas ini sedikit sebanyak dapat memberi panduan kepada kita di dalam proses menuntut ilmu. Ayuh kita terus berusaha menjadi penuntut ilmu dan berusaha menerapkan sifat-sifat yang baik tersebut di dalam diri kita, InsyaAllah.
Sekian

 

Dikeluarkan oleh Pejabat Imam

Tazkirah Jumaat 29 September 2017/ 8 Muharram 1439H

 

 

Leave a Comment