Tazkirah Ringkas : Apakah Jenis-Jenis Ilmu Yang Perlu Dipelajari?

tazkirah

 

Apakah Jenis-Jenis Ilmu Yang Perlu Dipelajari?

 

Berbicara berkenaan Ilmu, skop perbincangannya sangat luas. Namun secara umumnya, Ilmu dapat dikategorikan kepada dua jenis iaitu ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah.

Ilmu “fardhu ain” adalah Ilmu yang diwajibkan ke atas setiap Muslim yang akil baligh untuk mempelajari serta mengamalkannya dan dihukum berdosa jika sengaja meninggalkannya. Ilmu ini amat berkait rapat dengan persoalan asas Islam, iaitu akidah, syariat dan akhlak.

Bagi memahami ilmu ini dengan lebih jelas, Imam al-Ghazali pernah menghuraikan ilmu fardu ain ini di dalam kelompok ilmu al-Muamalat, iaitu ilmu yang melibatkan tentang akidah (kepercayaan), fiil (perbuatan) dan tark (peninggalan).

Apakah yang dimaksudkan dengan ilmu-ilmu tersebut?

 

ILMU AKIDAH adalah suatu ilmu yang menyentuh persoalan syahadah dan seluruh Rukun Iman dan Islam.

 

ILMU FIIL pula adalah ilmu yang berkaitan dengan penyempurnaan ibadat seseorang seperti tatacara bersuci, solat, puasa, zakat dan haji.

 

Manakala ILMU TARK adalah berkenaan perkara-perkara yang wajib ditinggalkan oleh seseorang Muslim seperti membunuh, berzina, minum arak, berjudi dan termasuk juga penyakit hati yang perlu dibersihkan seperti hasad, dengki, dendam dan sebagainya.

 

Semua ilmu-ilmu ini amat penting dipelajari dan dikuasai oleh seluruh masyarakat Islam kerana ia berkait rapat dalam hal-hal pembentukan peribadi mulia seseorang insan yang berteraskan akidah, ibadah dan akhlak.

Manakala, Ilmu “fardu kifayah” pula membawa maksud kewajipan yang difardhukan ke atas seluruh umat Islam. Apabila seorang atau sebahagian umat Islam melaksanakannya maka terlepaslah tanggungjawab itu dari seluruh umat Islam yang lain.

Misalnya, ilmu astronomi begitu penting kepada umat Islam. Ilmu ini diperlukan bagi menentukan arah kiblat, tarikh permulaan puasa dan Hari Raya, waktu wukuf, waktu solat dan seumpamanya. Oleh kerana itu, umat Islam perlu berusaha dengan lebih gigih meneroka pelbagai bidang ilmu pengetahuan agar umat Islam menjadi umat yang hebat dan cemerlang di mata dunia.

Kesimpulannya, semua ilmu yang dipelajari baik di masjid-masjid, pelajaran yang dipelajari oleh anak-anak kita di madrasah dan di sekolah-sekolah nasional merupakan ilmu yang baik untuk dipelajari dan diperlukan oleh diri kita, masyarakat dan negara kita.

 

Sekian

 

Dikeluarkan oleh Pejabat Imam

Tazkirah Jumaat 20 Oktober 2017/ 29 Muharram 1439H

 

Leave a Comment