Tazkirah Ringkas : Ilmu Yang Dilarang Oleh Islam

tazkirah

Ilmu Yang Dilarang Oleh Islam

 

Pada minggu yang lalu, kita telah mempelajari berkenaan Ilmu-Ilmu yang perlu kita pelajari yang dapat memberikan manfaat kepada diri kita, keluarga, mahupun masyarakat yang lain. Walaubagaimanapun, terdapat juga ilmu-ilmu yang dilarang oleh Islam untuk kita mempelajarinya dan mengamalkannya.

Salah satu daripada Ilmu yang dilarang tersebut adalah ILMU SIHIR. Apakah yang dimaksudkan dengan ILMU SIHIR? Perkataan sihir berasal daripada bahasa Arab yang membawa pengertian sesuatu yang menarik, memukau dan mempesonakan.

Mengikut Datuk Dr. Haron Din, Ilmu Sihir adalah merupakan suatu ilmu tersembunyi yang memerlukan kemahiran khusus menerusi konsentrasi amalan kebatinan secara berdamping dengan makhluk halus bertujuan mendapatkan kekuatan batin, sekali gus membolehkan pengamalnya menghasilkan perkara luar biasa, mencarik adat, memukau dan mangsa mematuhi apa sahaja kehendaknya dengan terpaksa.

Di dalam Al-Quran, sihir adalah merupakan satu hakikat dan ianya memang benar-benar wujud dan berlaku di atas muka bumi ini. Buktinya, Al-Quran sendiri menceritakan tentang kisah tukang-tukang sihir Raja Firaun yang dikalahkan oleh Mukjizat Nabi Musa, begitu juga kisah syaitan mengajar ilmu sihir pada zaman Nabi Sulaiman a.s.

Saudara,

Terdapat segelintir masyarakat kini yang masih mempelajari Ilmu sihir dan mengamalkannya bagi tujuan-tujuan yang jahat. Sebagai contoh, ada orang yang mempelajari sihir untuk meruntuhkan rumah tangga orang lain, untuk menawan hati seseorang supaya suka kepada dirinya atau mencintainya seperti ilmu pengasih, untuk menjadi kebal semata-mata ingin dilihat kuat dan seumpamanya. Walhal, hukum mempelajari ksemua ilmu-ilmu tersebut adalah haram dan wajib kita menghindarinya

Menurut Imam al-Nawawi di dalam kitab Fathu al-Bariy: “Mengamalkan sihir adalah haram, termasuk dalam dosa-dosa besar dan baginda telah menggolongkan dalam tujuh dosa besar. Manakala belajar dan mengajar adalah haram”.

Kesimpulannya, mempelajari dan beramal dengan Ilmu sihir adalah haram di sisi syara’ dan wajib dijauhi oleh setiap orang yang beriman kepada Allah SWT dan RasulNya. Sebaliknya, berusahalah semampu mungkin untuk mencari ilmu-ilmu yang bermanfaat yang dapat membawa kita lebih dekat kepada Allah SWT agar kita dapat meraih keberkatan dan rahmat daripadaNya, InsyaAllah.

 

Sekian

 

Dikeluarkan oleh Pejabat Imam

Tazkirah Jumaat 27 Oktober 2017 / 7 Safar 1439H

Leave a Comment