Tazkirah Ringkas : Keluasan Rahmat Allah SWT

tazkirah

Keluasan Rahmat Allah SWT

 

Allah SWT Maha Luas rahmatNya. RahmatNya tidak terjangkau oleh akal fikiran manusia, bahkan meliputi segala sesuatu. Rahmat yang diberikan di atas bumi ini sebenarnya hanyalah satu bahagian sahaja, sedangkan terdapat 99 lagi rahmat yang disimpan olehNya di Hari Akhirat kelak.

 

Nabi s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:

“Allah Azza wa Jalla menjadikan rahmat seratus bahagian. Dia menyimpan di sisi-Nya sembilan puluh sembilan bahagian dan diturunkannya ke bumi ini satu bahagian. Satu bahagian inilah yang dibagi kepada seluruh makhluk sehingga seekor binatang akan mengangkat kakinya kerana dorongan kasih sayang, khuatir jangan sampai kakinya menginjak anaknya.”

 (Hadith Riwayat Muslim)

 

Hadis tersebut menceritakan kepada kita betapa luasnya rahmat Allah SWT dengan menjadikan rahmatNya sebanyak 100 bahagian. Kita juga dituntut untuk melihat rahmat Allah melalui rahmat makhlukNya. Contohnya, binatang yang diceritakan dalam hadis tersebut bukanlah perasaan semulajadinya, tetapi sebenarnya ia adalah merupakan serpihan kasih sayang Allah yang dicampakkan ke dalam hati binatang tersebut.

 

Saudara,

Sebagai hamba Allah, kita hendaklah menggunakan akal, mata dan telinga untuk melihat bahawa segala yang ada di sekeliling kita itu adalah merupakan serpihan rahmat Allah. Maka dengan itu, akan bertambahlah keyakinan dan kefahaman kita bahawa rahmat Allah SWT sangat luas dan mengatasi kemurkaanNya.

Oleh itu, rebutlah peluang untuk mendapatkan 99 rahmat yang Allah janjikan untuk orang-orang beriman di Hari Akhirat nanti. Untuk mengetahui sejauh mana Allah merahmati kita, lihatlah sejauh mana kita mengasihi manusia lain, mahupun makhluk Allah yang lain. Orang yang tidak mengasihi, pasti tidak akan dikasihi oleh Allah.

 

Ingatlah sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:

“Berkasihanlah kepada setiap makhluk di bumi, nescaya kamu akan dikasihani (dirahmati) oleh setiap yang ada di langit.”

(Hadis Riwayat Imam Ahmad & Bukhari)

 

 

Sekian

Dikeluarkan oleh Pejabat Imam

Tazkirah Jumaat 17 November 2017 / 28 Safar 1439H

 

Leave a Comment