Tazkirah Ringkas : Berlaku Adil Terhadap Diri Sendiri

tazkirah

 

Berlaku Adil Terhadap Diri Sendiri

 

Islam adalah agama yang amat menekankan dan mementingkan aspek keadilan dalam kehidupan manusia. Salah satu sifat adil yang amat dicintai Allah SWT adalah berlaku adil terhadap diri sendiri. Mana mungkin seseorang itu dapat berlaku adil kepada manusia ataupun makhluk Allah yang lain, tetapi dalam masa yang sama dia sendiri belum mampu untuk berlaku adil kepada dirinya sendiri. Oleh kerana itulah, kita perlu tahu apakah bentuk-bentuk keadilan yang perlu kita tunaikan terhadap diri kita agar kita tidak berlaku zalim kepada diri sendiri.

Salah satu bentuk keadilan terhadap diri sendiri adalah dengan terus belajar dan meningkatkan diri dengan ILMU dari masa ke semasa. Kita mestilah berlaku adil dengan tidak membiarkan kejahilan terus menerus bersarang dalam diri selama-lamanya tanpa sebarang usaha untuk mempertingkat diri dengan mempelajari ilmu. Dengan ilmulah, seseorang itu akan dipandang mulia dan disegani oleh masyarakat bahkan dangkat darjatnya di sisi Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

 

…Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan Allah meninggikan orang-orang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) dengan beberapa darjat. Dan ingatlah, Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan.”

 (Surah Al-Mujadalah: 11)

 

Saudara,

Kita perlu mempertingkatkan diri dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat kerana ianya dapat menjamin kehidupan seseorang pada masa hadapan, menaik taraf kehidupan diri dan keluarga, mengelakkan diri daripada ditipu atau ditindas serta mampu berfikir dan membezakan antara perkara yang baik dan buruk dan banyak lagi.

Sebaliknya, jika kita tidak berlaku adil kepada diri sendiri dengan bermalas-malasan dalam mencari ilmu, maka kehidupan kita akan menjadi terumbang-ambing, peluang untuk mendapat pekerjaan bagi menyara kehidupan keluarga menjadi tipis, peningkatan masalah sosial dalam kalangan masyarakat pula semakin teruk, malah akan berlakunya masalah kemiskinan yang berpanjangan dan sebagainya. Akhirnya kita pasti akan dipandang rendah dan hina oleh masyarakat.

Oleh kerana itulah saudara, marilah kita berlaku adil kepada diri kita dengan  mempertingkatkan ilmu pengetahuan dari masa ke semasa baik ilmu dunia, mahupun akhirat. Elakkan merasa cukup terhadap ilmu yang telah kita miliki. Sebaliknya, teruskanlah usaha kita untuk mencari ilmu selagi hayat masih ada. Mudah-mudahan Allah sentiasa meberkati dan merahmati usaha kita dalam menuntut ilmu, Allahumma amin.

 

Sekian

 

Dikeluarkan oleh Pejabat Imam

Tazkirah Jumaat 1 Disember 2017 / 12 Rabiulakhir 1439H

Leave a Comment